Adakah Benar Ikan Arapaima Gigas Wujud Di Tasik Kenyir?
Kematian dua orang pemancing pada Jun 2009 di Tasik Kenyir menarik perhatian ramai. Menurut laporan The Star, kematian pemancing di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu mempunyai kaitan dengan ikan Arapaima Gigas.
Menurut laporan The Star lagi, sekumpulan ahli biologi dari Jabatan Perikanan telah di hantar ke tasik berkenaan bagi menyiasat tentang kewujudan ikan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan ketika itu, Munir Mohd Nawi berkata, hal berkenaan perlu disiasat segera kerana mereka juga menerima laporan ikan tersebut di temui di Johor.
Arapaima Gigas bukanlah spesis ikan tempatan. Ikan berkenaan berasal dari Sungai Amazon, Amerika Selatan dan menjadikan ikan-ikan yang lebih kecil sebagai diet makanannya.
Menurut laporan Bernama pada Julai 2009, Oleh kerana kewujudan Arapaima Gigas boleh menggangu habitat dan kehidupan ikan tempatan, Kerajaan Negeri Terengganu pernah menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap ikan tersebut.
Jika ikan itu berjaya ditangkap hidup-hidup, ianya akan ditempatkan di Mini Zoo dan Taman Rekreasi di Bukit Takal, Kemaman sebagai tarikan kepada pengunjung.
Pada tahun 2015, Lebih 300 pemancing dari seluruh negara berentap untuk memburu ikan Arapaima Gigas atau Naga Merah bagi merebut hadiah khas wang tunai RM20,000. Hadiah khas wang tunai itu ditawarkan sempena pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR) anjuran bersama kerajaan negeri dan unit Joran Berita Harian di Tasik Kenyir.
Arapaima Gigas di Tasik Kenyir masih lagi menjadi misteri dan tanda tanya. Adakah ianya benar wujud atau sekadar khabar angin yang dicipta untuk menarik perhatian.
//Rujukan : thestar.com.my , bharian.com.my