Kerapu Hybrid Sumber Pendapatan Sampingan Penduduk Pulau Kaniogan
Semasa berada di Pulau Kaniogan, kami sempat meninjau aktiviti penternakan ikan sangkar yang di jalankan oleh penduduk di sana sebagai salah satu sumber pendapatan mereka. Kerapu Hybrid menjadi pilihan kepada penternak ikan sangkar di sana. Selain itu terdapat juga ikan merah dan kerapu biasa.
Kenapa di panggil kerapu hybrid?
Kerapu hybrid adalah hasil kacukan induk jantan kerapu kertang dan induk betina kerapu harimau. Kerapu hybrid mempunyai nilai komersial lebih tinggi berbanding siakap dan spesies ikan lain, kerana ikan ini mempunyai ketahanan yang tinggi, hasil tuaiannya juga lebih cepat, kurang kecacatan dan mudah diternak.
Terdapat sangkar yang diusahakan dalam skala besar dan ada juga yang diusahakan dalam skala kecil. Penternakan ini dapat memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk Pulau Kaniogan yang mengusahakannya.
Menurut penternak yang kami temui, jika ikan kerapu hybrid ini diberikan makan yang cukup, dalam tempoh 6 bulan, ianya sudah boleh di jual dengan anggaran berat 1-2 kilogram. Berat ikan kerapu ini boleh mencecah sehingga 7 – 8 kilogram.
Harga ikan kerapu hybrid di pasaran boleh mencecah RM35 – 40 sekilogram. Manakala harga benih ikan kerapu hybrid bersaiz empat hingga lima inci pula dijual antara RM5 hingga RM7 seekor.
Selain ternakan ikan sangkar terdapat aktiviti penternakan burung walid. Menurut penduduk yang disana. Perusahaan burung walid itu baru saja di mulakan 2 tahun lalu.
Jom tonton video aktiviti kami di sana.