Nama Sainstifik Spesies Tiram Baharu, Mengambil Nama Orang Muar, Johor.

Nama Sainstifik Spesies Tiram Baharu, Mengambil Nama Orang Muar, Johor.

Selepas lebih 160 tahun spesies tiram ini diketahui dan dituai secara komersial di Sungai Muar, tiram ini telah disahkan sebagai spesies baharu dan dinamakan Crassostrea (Magallana) saidii baru-baru ini.

Kerjasama penyelidikan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Queen’s University Belfast telah mengesahkan bahawa spesies itu tidak terdapat di mana-mana kawasan lain di dunia.

Dr Nur Leena Wong menunjukkan spesies baharu tiram dikenali sebagai tiram putih’ atau nama saintifiknya, Crassostrea (Magallana) saidii yang dijumpai di muara Sungai Muar, Johor. – Foto UPM

Dikalangan penduduk tempatan dan nelayan, tiram ini dikenali sebagai ‘tiram putih’ kerana isinya yang berwarna putih krim, mempunyai rasa yang enak dan berkualiti tinggi.

‘Tiram kapak’ (Crasssotrea belcheri) adalah antara spesies tiram lain yang turut terdapat di Sungai Muar. Ianya mempunyai isi berwarna kelabu / coklat dan memiliki kulit yang lebih lebar.

Dr Nur Leena Wong (Penyelidik dari Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, tiram itu dinamakan Crassostrea (Magallana) saidii sebagai mengiktiraf usaha Md Saidi Mohamed yang mempromosikan penyelidikan dan pemuliharaan spesies tiram berkenaan.

Md Saidi Mohamed, seorang penduduk tempatan Muar, individu terawal menghubungi UPM pada 2017, ingin berbincang mengenai masalah populasi tiram yang semakin berkurangan di muara Sungai Muar.

Hasil daripada usaha Md Saidi dalam memelihara warisan semulajadi itu, pasukan penyelidik UPM dapat memahami biologi dan ekologi spesies unik itu dengan lebih mendalam.

tiram puith
Foto – johorkaki

Penyelidikan oleh Dr. Nur Leena dengan rakan penyelidik dari Queen’s University Belfast, Dr Julia Sigwart bermula dengan pengambilan sampel pada 2017 sebelum kajian biologi kitar pembiakan pada 2018 dan 2019.

Mereka mengumpul dan membandingkan data dengan koleksi data berkaitan tiram yang terdapat di muzium di United Kingdom, dan spesies yang terdapat di Asia, hasilnya tiada rekod DNA yang sama dengan tiram putih di muara Sungai Muar itu.

Kertas penemuan hasil kajian itu telah dihantar ke jurnal Marine Biodiversity, yang berpangkalan di Jerman pada tahun 2020.

Pada 12 Oktober 2021, nama sainstifik Crassostrea (Magallana) saidii untuk tiram itu diperakukan.

tiram putih
Foto – johorkaki

Menurut Dr. Nur Leena, fokus penyelidikan kini adalah kepada pembenihan tiram itu melalui pendekatan akuakultur untuk memperbanyakkannya. Kajian juga dilakukan untuk mengenal pasti kualiti air dan kadar kemasinan air yang paling sesuai untuk pembiakan.

Pada masa ini Crassostrea (Magallana) saidii hanya hidup di muara Sungai Muar dengan kemasinan air 8 hingga 25 PPT, dan tidak boleh hidup di air laut.

Sumber :
astroawani.com , johorkaki.blogspot.com