Populasi Dugong Menurun Dan Hampir Pupus !
Dugong ialah seekor haiwan mamalia laut herbivor yang hidup di dalam air. Haiwan ini pernah disalah anggap sebagai ikan duyung oleh kelasi kapal yang menemuinya buat pertama kali suatu ketika dahulu.
Dugong mempunyai bentuk fizikal dan ciri-ciri yang hampir sama seperti ‘saudaranya’ Manatees. Kedua-dua haiwan ini juga dikenali sebagai ‘lembu laut’ dan tergolong di dalam keluarga Sirenia.
Terdapat 5 spesis haiwan di dalam keluarga Sirenia, iaitu West Indian manatee, Amazonian manatee, West African manatee, Stellar sea cow dan dugong.
Di antara kelima-lima haiwan tersebut, Stellar sea cow telah pupus sejak tahun 1768.
Anggaran berat haiwan di dalam keluarga Sirenia ialah sekitar 1,500kg dan panjang diantara 2 hingga ke 4 meter. Stellar sea cow ialah haiwan terbesar di dalam keluarga Sirenia. Haiwan ini boleh mencapai berat 5 hingga ke 10 ton dan panjang 10 meter
Dugong Pupus Di China.
Pada Ogos 2022, dugong telah diisytiharkan pupus di China selepas penyelidikan baharu tidak menemui sebarang rekod atau bukti bahawa dugong wujud di negara itu sejak tahun 2008.
Hasil dari kajian Saintis pemuliharaan dari Persatuan Zoologi London (ZSL) dan Akademi Sains China mendapati, bilangan mamalia laut itu merosot di China dari tahun 1970-an hingga tahun 2008.
Dugong Di Malaysia.
Dugong telah ditemui buat pertama kalinya di Malaysia pada lewat 1960.
Pada tahun 2016, satu laporan berita menyatakan, anggaran dugong yang terdapat di perairan Malaysia hanya tinggal kira-kira 100 ekor.
Berdasarkan sumber Jabatan Perikanan Malaysia, perairan Johor mempunyai antara
40 hingga 50 ekor dugong, manakala 20 hingga 30 ekor dugong di perairan Sabah dan Sarawak.
Menurut MareCet (Marine Mammal Conservation) taburan dugong paling padat adalah di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi yang terletak di timur perairan Mersing.
Antara faktor yang menyumbang kepada penurunan populasi hidupan laut ini adalah
akibat tersangkut di dalam pukat, selain pencemaran laut dan kemusnahan habitatnya.
Apabila pukat diturunkan sehingga ke dasar laut khususnya di kawasan yang mempunyai rumput laut, ianya boleh memusnahkan kawasan berkenaan.
Terdapat juga kes dimana, pukat yang diturunkan sehingga ke dasar telah memerangkap dugong yang sedang meragut rumput laut. Akibatnya, dugong akan lemas, kerana haiwan ini perlu mendapatkan oksigen bagi setiap 5 – 7 minit.
Secara puratanya, Seekor dugong perlu memakan kira-kira 40kg rumput laut sehari.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga dan memelihara kawasan
yang mempunyai rumput laut supaya haiwan ini tidak pupus di masa depan.
==========
Sumber :
astroawani.com
bharian.com.my
dipndive.com
worldwildlife.org
britannica.com