Ikan Bandaraya : Ancaman Kritikal Ekosistem Saliran Negara
Pada 24 Mac 2024 (Ahad) yang lalu, kami telah mengikuti aktiviti yang dijalankan oleh Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya di Bukit Jalil, Selangor. Aktiviti utama pada hari tersebut sudah tentulah untuk menangkap sebanyak mungkin ikan bandaraya yang terdapat di dalam sungai di situ.
Pertambahan populasi ikan bandaraya atau ikan tombot di sekitar sungai di dalam negara ini telah mengancam ekosistem sungai. Banyak spesies ikan tempatan yang sudah mulai hilang di perairan (air tawar) negara.
Populasi dua spesies utamanya, iaitu pterygoplichythys pardalis dan pterygoplichthys disjunctivus, kini telah mendominasi antaranya Sungai Klang, Sungai Semenyih, Sungai Kuyoh dan Sungai Ara Damansara.
Dapatan menerusi persampelan membabitkan dua sungai di Selangor, turut menunjukkan kemungkinan wujudnya spesies baharu ikan bandaraya atau nama saintifiknya Pterygoplichthys pardali yang tidak mustahil sedang ‘menghuni’ sungai lain.
Ikan bandaraya, ikan tombot atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus merupakan ikan air tawar tropika bukan berasal dari Malaysia, ianya berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Ikan bandaraya memakan alga, dan sebagai cara untuk membezakan mereka dari haiwan kecil pemakan alga yang lain, kerana itu acap kali ia dirujuk sebagai plecostomus, singkatan plecos atau plecs. Ikan ini merupakan spesies ikan yang sangat popular untuk dibela dalam akuarium kerana mampu membersihkan akuarium dan tangki dengan memakan alga serta saki baki makanan ikan dan ikan-ikan yang mati.
Ikan bandaraya atau plecos boleh hidup dengan baik dalam suasana bersih, dan berair tawar tropika. Ianya boleh ditemui di sungai atau kolam tropika di negara seperti Malaysia, Indonesia. Namun hidup meliar di kawasan air tawar seluruh Amerika Selatan.
Nama “ikan bandaraya” yang sering dipanggil di Malaysia dan masyarakat Melayu khususnya sebenarnya sinonim dengan sifat ikan ini yang suka “membersihkan” kawasan sekelilingnya dengan memakan alga dan sisa makanan lebihan. Ini tidak ubah dengan kerja-kerja buruh pembersihan yang membersihkan kawasan persekitran bandaraya dan kota raya di tengah-tengah kesibukan bandaraya. Di Indonesia, ikan ini disebut “Sapu-sapu”, perkataan itu nampaknya mempunyai analogi yang sama dengan sifat ikan bandaraya yang seakan-akan suka menyapu dan membersihkan persekitarannya.
Ikan bandaraya berpotensi menjadi sumber pendapatan bagi pemancing dan nelayan darat. Telur ikan bandaraya boleh dijual dengan anggaran harga RM40 hingga ke RM60 sekilogram, bergantung kepada saiznya. Telur ikan tersebut akan dijadikan umpan memancing dan ianya menjadi rebutan di kalangan kaki pancing.