Lelaki Ini Membina Kolam Konservasi Ikan Sungai Di Tengah Hutan

Seorang lelaki dikenali sebagai Abang Nett telah memulakan satu projek pada bulan Mac 2021, membina sebuah kolam konservasi khas untuk ikan-ikan sungai di sebuah kolam terbiar di tengah hutan yang terletak di dalam bekas kawasan pembalakan yang telah ditinggalkan hampir 10tahun.
Menurut Abang Nett, projek kolam konservasi beliau ini terinspirasi dari beberapa buah Channel YouTube yang berkongsi tentang aktiviti-aktiviti konservasi yang dilakukan. Antaranya ialah Chanee Kalaweit, Kim : Ichthyologist Kampung Style dan AJOI SPEED.
Apa yang menariknya, menurut Abang Nett kolam konservasi ini bukan untuk dirinya sendiri, tapi projek ini adalah untuk generasi akan datang, terutamanya untuk masyarakat orang asli di situ.
Projek yang diusahakan oleh Abang Nett ini tidak mendapat sebarang pembiayaan dari mana-mana pihak swasta mahupun kerajaan. Ianya diusahakan dengan menggunakan bajet dan tenaga sendiri. Ikan-ikan yang dilepaskan kedalam kolam konservasi itu juga adalah dari dalam kolam ikan yang diusahakannya sendiri.
Projek ini dimulakan dengan membuang air kolam. Tujuan utama membuang air kolam itu ialah untuk mendapatkan paras kolam yang dikehendaki, selain dapat mendedahkan dasar kolam kepada cahaya matahari, seterusnya dapat mengurangkan asid amonia di dalam air.
Proses membuang air kolam juga bukan satu kerja yang mudah, ianya memakan masa beberapa hari.
Tujuan lain membuang air kolam sedia ada itu ialah untuk melihat jenis-jenis ikan dan hidupan lain yang ada di dalam kolam. Tujuannya untuk memastikan tiada ikan atau hidupan lain yang tidak sesuai untuk kolam konservasi tersebut.
Antara hidupan yang ditangkap semasa proses membuang air kolam tersebut ialah siput dan juga ikan talapia. Siput-siput tersebut dikutip oleh Abang Nett dan dilepaskan semula ke sungai berhampiran. Tujuanya ialah untuk memastikan siput-siput tersebut terus membiak di sungai itu.
Banyak lagi kerja-kerja yang dilakukan oleh Abang Nett untuk memastikan projeknya berjaya.
Pada Jun 2021, selepas hampir 3 bulan meluangkan banyak masa dan tenaga di kolam tersebut, projek tersebut boleh dianggap selesai. Hanya tinggal beberapa kerja-kerja kecil yang perlu dilakukan.
Tonton semua video proses-proses membina kolam tersebut di YouTube